Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Kemaskini Pada: 10 Dis 2018
Versi 8.1.2
Ahli majlis disaran khidmat lebih proaktif
Tarikh : 17 Feb 2017  Sumber Berita: Utusan Borneo
 

Bekerja sebagai satu pasukan, bersama galas dasar dan keputusan dibuat majlis: Dr Sim

 Dr Sim (tengah) berjabat tangan dengan James (dua kanan) sambil menunjukkan Buku Garis Panduan Untuk Ahli Majlis Edisi Ketiga yang baharu dilancarkan semalam sambil disaksikan tetamu kehormat yang lain.

SIMBOLIK: Dr Sim (tengah) berjabat tangan dengan James (dua kanan) sambil menunjukkan Buku Garis Panduan Untuk Ahli Majlis Edisi Ketiga yang baharu dilancarkan semalam sambil disaksikan tetamu kehormat yang lain.



KUCHING: Ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri disaran untuk terus mengorak langkah memainkan peranan lebih proaktif terutama dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Menurut Menteri Kerajaan Tempatan Datuk Dr Sim Kui Hian, dalam menjalankan tugas, ahli majlis mestilah bekerjasama sebagai satu pasukan dan sama-sama bertanggungjawab bagi sebarang dasar dan keputusan yang dibuat untuk majlis masing-masing.

Malah, jelasnya, sebagai barisan hadapan, mereka juga hendaklah memahami peranan dan fungsi mereka selain menegakkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti awam.

“Jika anda (ahli majlis) tidak bersedia untuk melakukannya, bermakna anda tidak layak untuk berada dalam tugas ini. Ia semudah itu.

“Kenali dan fahami peranan anda secara meluas. Ia (tugas) bukan hanya membaiki lubang pada jalan raya, membersihkan longkang, memotong rumput dan sebagainya, sebaliknya merangkumi keperluan serta hasrat yang dimahukan rakyat setempat bagi kehidupan yang lebih selesa dan terjamin,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Seminar Untuk Ahli-Ahli Majlis PBT Sarawak di Hotel Pullman, di sini semalam.

Dr Sim berkata, ahli PBT juga perlu turun padang setiap waktu dan menjalinkan hubungan langsung dengan semua lapisan masyarakat setempat bagi mengetahui keinginan dan kemahuan mereka.

“Kita mahu masyarakat menjadi mata dan telinga kepada kita, seharusnya kita juga menjadi tempat kebergantungan rakyat dan bukannya menjadi ahli majlis dan PBT yang ‘tidur.’

“Meskipun zaman moden hari ini kita boleh berkomunikasi menggunakan e-mel ataupun aplikasi WhatsApp, tetapi kita lebih memilih untuk berkomunikasi secara terus dan berdepan agar nilai-nilai positif dapat dikongsi antara masyarakat dan ahli PBT,” jelasnya.

Seminar itu diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada ahli majlis baharu khususnya berkaitan fungsi dan peranan PBT terutama dalam aspek perundangan dan perkara yang berhubung kait dengan tadbir urus baik yang perlu difahami dan diamalkan oleh setiap ahli majlis ketika menjalankan tugas rasmi.

Seramai 391 peserta terdiri daripada pengerusi majlis, setiausaha majlis serta ahli baharu majlis di seluruh Sarawak menghadiri seminar selama sehari selain turut menyaksikan pelancaran Buku Garis Panduan Untuk Ahli Majlis Edisi Ketiga oleh Dr Sim, semalam.

Memeriahkan lagi seminar ialah pameran mini yang disertai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Raya Khas marketing, Weida (M) Bhd, Trienekens (Sarawak) Sdn Bhd dan LONGi (KCH) Sdn Bhd yang mempamerkan perkara-perkara relevan dengan peranan majlis.

Turut hadir Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Datuk James Chan, Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang, Pengerusi Majlis Perbandaran Samarahan (MPS) Dato Peter Minos serta beberapa jemputan kehormat lain.