Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 
 
 
 
 
 
Dr Sim kecewa masih ada tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan
Tarikh : 18 Mar 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

 


KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Dr Dr Sim Kui Hian (gambar) berkata beliau sangat kecewa dengan tindakan segelintir masyarakat di bandar raya ini yang tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa hari ini.

Beliau berkata masih ramai yang ingkar dengan perintah berkenaan dengan makan di kedai-kedai makan di beberapa tempat seperti di Kenyalang Market Food pada hari pertama PKP dikuatkuasakan.

Beliau berkata tindakan individu berkenaan katanya seperti tidak tahu akan penguatkuasaan PKP.

"Saya sangat kecewa dengan apa yang berlaku kerana kita (kerajaan) berusaha melindungi setiap rakyat daripada COVID-19. Kita menasihati orang ramai agar sentiasa menjaga jarak sosial mereka.

"Tolonglah beli dan bungkus makanan anda, makan di rumah atau gunalah perkhidmatan penghantaran makanan seperti GrabFood, FoodPanda, H&L Express dan sebagainya," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Sim menegaskan dalam membendung penularan COVID-19 semua pihak mesti memberi kerjasama kerana Sarawak sudah mencatatkan satu kematian akibat penyakit tersebut setakat ini.

Beliau berkata polis dan agensi penguatkuasa lain boleh mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang ingkar dengan PKP.

"Di bawah Perintah Kawalan Pergerakan, kesalahan pertama, pesalah boleh dipenjara dua tahun dan atau denda RM200,000 manakala bagi kesalahan kedua, pesalah boleh dipenjara hingga lima tahun dan atau denda RM200,000.

"Jika anda sayang Sarawak, ubahkan perangai dan sikap kita semua, jangan menunggu tindakan undang-undang diambil baharu kita berubah.

"Jika semua rakyat Sarawak bekerjasama, saya percaya kita dapat membendung penularan COVID-19 di negeri ini, khasnya," ujar beliau.

Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai hari in sehingga 31 Mac 2020 di seluruh negara di bawah Akta Pengawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Di bawah PKP, antara lain, menyatakan semua kedai makan boleh beroperasi dan dibuka tetapi hanya untuk makanan dibawa pulang sahaja.

Di bawah PKP itu juga ialah larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan orang ramai, termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Untuk menguatkuasakan larangan ini, semua rumah ibadat dan premis perniagaan diarahkan tutup, kecuali pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian.