Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 
 
 
 
 
 
Dr Sim Kui Hian, menteri yang juga diarah kuarantin di rumah
Tarikh : 03 Apr 2020  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

 

KUCHING: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian (kiri dalam gambar) kini menjalani kuarantin di rumah selepas berhubung rapat dengan kes positif Covid-19.

Menerusi Facebook beliau hari ini, beliau berkongsi gambar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah yang dikeluarkan kepadanya oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.

Perintah itu menyatakan beliau mesti menjalani penyeliaan dan pemerhatian di rumah sehingga 9 April.

Walaupun telah mengambil langkah berjaga-jaga, seorang daripada individu yang menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Kecil bagi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) pada 27 Mac lalu disahkan positif Covid-19.

"Saya berada dalam keadaan sihat dan bukan positif COVID-19. Saya tidak mempunyai gejala seperti batuk, sesak nafas dan demam.

“Prosedur operasi standard (SOP) menjelaskan sesiapa yang berhubung rapat dengan kes positif Covid-19 dalam tempoh 14 hari perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Justeru, mereka yang menghadiri mesyuarat pada hari kelapan perlu mengasingkan diri di rumah,” jelasnya.

"Ia bukan hanya sekadar untuk mengelakkan diri kita dijangkiti tetapi lebih penting lagi adalah untuk tidak menjangkiti orang lain terutamanya apabila anda berada dalam keadaaan sihat dan tidak menunjukkan sebarang gejala,” katanya menerusi catatan di Facebooknya, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Sim juga berdoa agar semua orang pulih dengan segera selain mendoakan keselamatan pekerja barisan hadapan dan agar Sarawak berjaya mengatasi COVID-19.

Beliau menasihatkan semua orang untuk duduk di rumah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kerana itu satu-satunya cara yang boleh menghentikan jangkitan.

"Panik tidak membantu. Politik juga tidak membantu. Namun duduk di rumah akan membantu memerangi COVID-19 ini,” katanya.

Sementara itu ADUN Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep (kanan dalam gambar) turut menjalani  kuarantin di rumah sebagai langkah berjaga-jaga terhadap COVID-19. 

Henry menerusi Facebooknya hari ini  berkata beliau menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah yang dipengerusikan Dr Jerip di Pejabat Daerah Bau pada 30 Mac lepas. 

“Dr Jerip memaklumkan kepada kami semalam  bahawa beliau positif COVID-19.  Jadi pagi tadi saya menjalani saringan di Kompleks Belia dan Sukan dan mula kuarantin di rumah sehingga 16 April ini,” katanya ketika dihubungi.