Polls
Announcements

Berita

Individu rentas daerah ke kawasan berisiko, bergejala digesa buat saringan
Tarikh : 26 Jan 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

 

KUCHING: Individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko atau faktor-faktor berisiko tinggi jangkitan COVID-19 diminta tampil menjalani ujian saringan di klinik kesihatan atau hospital swasta terdekat, kata Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak, Dr Chin Zin Hing (gambar).

Beliau berkata, mereka yang pernah melakukan perjalanan antara daerah ke kawasan berisiko tinggi dalam tempoh dua minggu lalu sama ada mengunjungi ahli keluarga, rakan, atau menghadiri sebarang majlis seperti perkahwinan atau pengebumian dimohon untuk berbuat demikian.

Antara daerah kawasan berisiko tinggi jangkitan COVID-19 katanya, seperti Sri Aman, Betong, Sibu, Kanowit, Dalat, Miri, Beluru, Sebauh.

“Sekiranya mereka tidak sihat dan mengalami sebarang gejala seperti batuk, demam, sakit tekak dan kehilangan deria rasa atau bau atau badan berasa letih dan telah melakukan perjalanan merentas daerah dalam tempoh dua minggu yang lalu untuk segera menjalani ujian saringan COVID-19.

“Begitu juga mereka yang pernah dikunjungi oleh rakan atau sanak-saudara yang telah melakukan perjalanan merentas daerah tersebut dalam tempoh dua minggu lalu dan menunjukkan gejala-gejala tidak sihat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Chin turut berkata oleh kerana banyak kes positif COVID-19 dikesan di rumah panjang, para penduduk yang mengalami sebarang gejala batuk, demam. sakit tekak, kehilangan deria rasa atau bau atau badan berasa letih dinasihatkan untuk pergi ke klinik kesihatan terdekat bagi mendapatkan rawatan dan ujian pengesahan COVID-19.

“Kerjasama anda amat membantu untuk memutuskan rantaian jangkitan wabak COVID-19,” katanya.

  • oleh Marlida Mardzuki