Polls
Announcements

Berita

COVID-19: Dua rumah panjang di Sri Aman dikenakan sekatan pergerakan
Tarikh : 07 Jan 2021  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

Gambar tular di media sosial mengatakan antara rumah yang dikenakan sekatan pergerakan.

KUCHING: Sekatan pergerakan dilaksanakan di Rh. Sg Putong, Ulu Undop dan Rh. Bui Panjai, Lubok Antu di Sri Aman serta merta sehingga tarikh dimaklumkan kemudian.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata ini adalah susulan terdapat kes positif COVID-19 dilaporkan di dua rumah tersebut. 

“Bermakna tidak ada penduduk rumah panjang dibenarkan keluar rumah sepanjang sekatan pergerakan ini dilaksanakan. Jabatan Kebajikan akan menghantar bekalan makanan ke dua rumah panjang berkenaan kerana penghuninya dibantu jabatan-jabatan lain,” katanya pada sidang media hari ini. 

Tambah Uggah, selain sekatan pergerakan sekurang-kurangnya 14 hari, pengesanan kes aktif (ACD) juga akan dilaksanakan. 

Ini kerana katanya kes iaitu kes ke-1,177 dan 1,180 didapati ada membuat kunjungan Krismas sebelum didapati positif pada 7 Januari 2021.

Kedua-dua kes katanya warga tempatan telah disaring COVID-19 dan menerima rawatan di klinik kesihatan di Sri Aman pada 6 Januari 2021

Kes katanya telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dan dikategorikan sebagai jangkitan tempatan. 

Daerah Sri Aman kini kata Uggah juga telah bertukar status daripada Hijau kepada Kuning selepas dua kes jangkitan tempatan direkodkan.