picture

 

Sejarah Majlis Daerah Sri Aman



Bandar, Daerah, Bahagian Sri Aman dahulunya dikenali sebagai 'Simanggang'. Nama 'Sri Aman' diambil sempena Peristiwa Bersejarah Deklarasi Sri Aman (satu perjanjian keamanan yang ditandatangani pada 21 Oktober 1973 di antara kerajaan dan pengganas komunis). Penukaran nama ini dikuatkuasa melalui SWK.L.N 42/80 of Part II of Sarawak Government Gazette di bawah tajuk Simanggang (Change of Name) Order 1980.

Semasa Era Kolonial Inggeris di SImanggang (sekarangnya Sri Aman) sekitar tahun 1946 - 1962, Badan Berkuasa Tempatan sinonimnya Batang Lupar Local Authority telah banyak memainkan peranan dan fungsinya dalam hal ehwal pembangunan tempatan khususnya pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan kerja - kerja percukaian. Di bawah naungan kuasa Inggeris, pentadbirannya di dasari pengaruh Ahli - Ahli Mesyuarat yang terdiri daripada kalangan Penghulu - Penghulu ternama dari sekitar kawasan Batang Lupar.

Kesinambungannya, urusan pentadbiran Penguasa Tempatan Batang Lupar berpindah tempat ke Pejabat Pentadbiran Baru, Majlis Daerah Batang Lupar (Batang Lupar District Council) - pembukaan rasminya telah dilakukan oleh Sir Alexander Waddie pada 10 Februari 1963. Serentak dengan upacara pembukaan rasmi ini, Sir Alexander Waddie telah juga menyerah Surat Kuasa (Letter of Appointment) kepada Pengerusi Majlis Daerah Batang Lupar, Pengarah Storey ak Ngumbang. Beberapa orang berpengaruh dari kalangan masyarakat setempat juga dilantik sebagai Ahli Majlis bagi melaksanakan dasar - dasar dan fungsi - fungsi Majlis selaku Badan Berkuasa Tempatan.

Pada 1 Januari 1986, Majlis Daerah Batang Lupar (Batang Lupar District Council) secara rasmi ditukar nama kepada Majlis Daerah Sri Aman (Sri Aman District Council). Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) adalah sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang diberi kuasa dibawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 1971) untuk memberikan perkhidmatan kepada penduduk Sri Aman.

Mengikut persempadanan baru pada tahun 2002, Sri Aman meliputi keseluruhan lembah Sungai Batang Lupar yang memanjang dari Lingga ke Hulu Skrang dan anak - anak sungainya kecuali Batang Ai. Sungai Batang Ai terletak di Daerah Lubok Antu. Persempadanan baru ini diserah kepada Bahagian Betong.

Majlis Daerah Sri Aman mempunyai keluasan kawasan pentadbiran seluas 3,848km/segi yang mana meliputi Lingga, Pantu, Lachau, Sungai Tenggang dan Batu Lintang.